Monday, November 3, 2014

DUNIA BERGOLAK



Kita kini sibuk membincangkan atau memerhati pergolakan domestik, rantau dan antarabangsa. Konflik seringkali berlaku kerana didorong oleh perselisihan kaum, sosio-budaya, agama ataupun ideologi. Ia juga selalu menjemput penglibatan kuasa luar ataupun Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di atas alasan untuk menjaga kepentingan kedamaian dan keamanan antarabangsa ataupun kepentingan nasional yang perlu dipertahankan. Justru konflik serta keganasan yang di pertontonkan di serata dunia kebanyakan pelakunya terdiri dari negara-negara atau individu ataupun kumpulan-kumpulan tertentu. Kita boleh memberikan pelbagai alasan dan sebab mengapa ianya berlaku dan salah satu darinya adalah kerana kepentingan geopolitik, geoekonomi ataupun perbezaan ideologi dan falsafah. 

Bila memerhatikan insiden dan tragedi-tragedi yang melanda dunia ia kelihatan seolah manusia dan sifat kemanusiaan sudah tidak lagi mempunyai tempat dalam fikiran dan perasaan manusia. Yang ketara sekali tidak ada sikap kesederhanaan atau keadilan yang terkandung di dalam rumusan mereka. Bila hilang keadilan dan ehsan tidak mungkin seseorang ataupun negara akan bertindak dengan baik dan sederhana. Di atas segala tindakan-tindakan dan konflik kebanyakannya mengundang kepada keganasan dan tindakan ketenteraan yang akan menjadikan orang awam yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Peperangan dari sudut sejarah dunia dan negara bukanlah satu penyelesaian atau kaedah yang terbaik untuk membina keamanan walaupun ada masanya ianya adalah pilihan yang terakhir bagi menghalang peperangan dan konflik dari berterusan. Lebih sedih lagi apabila perilaku dikalangan negara-negara Muslim dan orang Muslim yang tidak langsung mencerminkan elemen utama dalam ajaran sebenar Islam yang menuntut supaya bersikap adil, memiliki ehsan dan memilih jalan sederhana dalam setiap sikap dan tindakan.

Namun kini negara dan orang Islam lebih cenderung dan di dorong oleh ideologi politik dan nationalisme yang melampaui batas keIslaman. Kebanyakan negara Islam kini berdepan dengan konflik, berperang dan berbunuh sesama sendiri yang disaksikan oleh seluruh khalayak masyarakat antarabangsa. Mereka terdorong untuk membantu negara luar yang akhirnya mengakibatkan keruntuhan dan secara tidak langsung boleh merosakkan imej Islam dan kaum Muslim di atas berbagai alasan. Justru umat dan negara Islam senantiasa di pandang rendah dan dihina oleh masyarakat dunia. Media utama barat juga menjadi faktor utama yang memaparkan seolah negara dan umat Islam masih lagi tidak bertamadun, ganas dan tidak berperikemanusiaan yang jauh menyimpang daripada fakta yang sebenar. Penentang-penentang Islam dari barat terus membincangkan berkenaan agama, falsafah dan prinsip tanpa pengetahuan ataupun merujuk kepada sumber sahih dari Al-Quran dan Sunnah. Muncullah konsep jihadis, fundamentalis yang menjurus ke arah keganasan yang dikaitkan dengan agama Islam. Sememangnya sebutan sebegitu jauh menyimpang dari maksud dan prinsip yang terkandung dalam agama Islam. Kumpulan penentang Islam cuba memberikan gambaran seolah kelakuan dan tindakan individu yang ekstrim sama dengan ajaran agama Islam.

Jika diperhatikan apa yang berlaku di Iraq, Syria, Libya, dan Afghanistan jelas sekali ia adalah permainan geo-politik kuasa-kuasa besar bagi mencapai hegemoni. Apakah penyelesaian yang dicapai selepas campur tangan negara asing semenjak September 11 dan Arab Spring membawa kesan positif dan membina? Yang jelas dan nyata adalah umat dan negara Islam senantiasa berdepan dengan kehancuran yang berterusan yang melahirkan ketidakstabilan jangka panjang. Kepentingan sempit mengheret negara tanpa membawa kebaikan kepada negara itu sendiri dan umatnya. Seharusnya masyarakat antarabangsa melalui proses pelbagai hala mencari penyelesaian secara bijaksana dan seimbang. Tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya dan akibat campur tangan asing di atas pelbagai alasan dapat disaksikan pembunuhan, keadaan kucar kacir dan perpecahan di kalangan umat Islam. Boleh dikatakan konflik sesama umat yang berlaku dewasa ini adalah yang paling dasyat dalam sejarah Islam. Lebih parah lagi bila umat Islam masih membawa pendekatan perjuangan yang jauh tersasar dari ajaran dan akidah agama. Segala kekayaan dan kemewahan serta kebendaan yang dianugerahkan Allah swt hilang dan punah. Maka pihak lain yang akan mendapat manfaat dan menentukan hala tuju umat dan negara Islam. 

Justru itu penganiayaan serta kezaliman ke atas umat Islam di negara-negara yang mereka menjadi golongan minoriti diabaikan tanpa perhatian serius ataupun pembelaan oleh masyarakat antarabangsa. Penyelesaian dan jawapannya berada dalam tangan umat dan negara Islam sendiri. Ia memerlukan kebangkitan dan kesedaran baru untuk keluar dari kepompong kejahilan. Jika tidak umat akan terus merundum ke lembah kehinaan dan akan berdepan dengan penjajahan baru. Negara Islam akan dibelenggu oleh keadaan ini andainya kita tidak rujuk semula kepada shariat dan jalan yang ditunjuk dan dianjurkan oleh agama Islam yang sebenar.

No comments:

Post a Comment